Peningkatan purata suhu global, perubahan cuaca dan peningkatan aras laut akan menyebabkan perubahan terhadap kehidupan manusia dan mengganggu ekosistem kehidupan hidupan lain. Seperti yang telah sedia maklum, pemanasan global menyebabkan glasier mencair dan tahap air laut meningkat sebanyak beberapa puluh sentimeter. Ketebalan ais di kutub juga menjadi kurang. Keadaan ini telah mengancam kehidupan beruang kutub.Pemanasan ini bukan sahaja melibatkan isu pencairan ais di kutub, peningkatan paras air laut, penipisan ozon dan penambahan kesan buruk fenomena Ekuinoks sahaja. Malah isu pemanasan global ini juga meliputi isu tentang berlakunya kekerapan banjir, kemarau panjang, fenomena ribut dan taufan, kekurangan air minuman, sebaran penyakit malaria, kekurangan zon tepi laut atau kekurangan bilangan pulau dan sebagainya.Dapat diperhatikan bahawa isu-isu yang berlaku akibat pemanasan global ini, adalah saling berkaitan antara satu sama lain. Hampir semua adalah berpunca daripada peningkatan pelepasan karbon dioksida yang tinggi tanpa kawalan yang menyeluruh.
Ekologi mempunyai dua ciri penting, iaitu intraksi dan keseimbangan antara semua kehidupan di alam semula jadi ini. Ia meliputi intraksi antara manusia dengan kehidupan lain, haiwan dan tumbuhan, dan alam sekitarnya. Intraksi yang baik antara manusia, haiwan, tumbuhan dan alam sekitar akan menghasilkan suatu keseimbangan yang sempurna kepada ekologi hidupan. Intraksi organ-organ di dalam tubuh manusia yang baik dan seimbang, akan membentuk individu yang sihat. Individu-individu yang sihat akan membentuk keluarga yang sihat serta masyarakat yang sihat. Seterusnya akan beri impak yang baik kepada penjagaan alam sekitar.Individu yang baik ini adalah hasil daripada hubungan yang baik dengan Penciptanya iaitu, Allah. Allah telah menurunkan Islam sebagai garis panduan kepada manusia untuk mentadbir alam ini dengan sebaik-baiknya. Islam adalah cara hidup yang paling sesuai kepada manusia yang sempurna untuk diamalkan dan meliputi semua aspek. Manusia yang lari daripada panduan Islam adalah individu yang lari daripada fitrah kehidupan manusia yang sebenarnya.
Dalam menghadapi masalah alam sekitar, Islam sebagai agama yang syumul dan kamil, mempunyai perspektif, kaedah, pendekatan dan penyelesaiannya yang tersendiri. Kaedah Islam menggunakan sains, teknologi dan falsafah Islam sebagai alternatif kepada sains dan teknologi moben Barat. Pendekatannnya pula menekankan aspek harmoni dan keseimbangan terhadap unsur-unsur alam sekitar. Aspek tersebut memberi kesan langsung kepada penghasilan peradaban Islam dalam semua bidang. Di dalam Hadis ke 41, Matan ar-Bai’in, Rasullullah s.a.w bersabda :
“Tidak sempurna iman kamu sehingga adalah hawanya (kemahuannya atau kecenderungannya) mengikut apa yang aku bawa dengan dia”.
Mustafa Abdul Rahman telah mensyarahkan hadis ini, bahawa terlaksananya segala kebaikan yang telah diperintahkan oleh Islam serta terhindarnya segala kejahatan yang dilarang adalah disebabkan mendahulukan iman dari kemahuan hawa nafsu. Sebaliknya dengan mendahulukan nafsu, segala kebaikan tidak akan berlaku kerana hawa nafsu tidak pernah bersetuju dengan perkara yang dikehendaki oleh iman.
Maka, tanggungjawab khalifah sewajibnya mendahului Al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan. Agar ini tidak mencabuli hak-hak kewujudan alam sekitar yang telah diciptakan Allah untuk memberi keselesaan dan pelengkap kepada kehidupan manusia.
Oleh itu, manusia tanpa aqidah yang benar akan lebih cenderung untuk melakukan kerosakan pada alam sekitar. Penjagaan terhadap alam sekitar pula adalah merupakan suatu bentuk ibadah yang dituntut oleh Islam. Pelaksanaan pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar juga perlu sejajar dengan syariah Islam agar tidak melampaui batas. Manakala perancangan dan perlaksanaan untuk memulihara alam sekitar adalah suatu bentuk akhlak yang terpuji yang sewajarnya menjadi amalan dan teladan umat Islam yang berpegang kepada ajaran Islam.

0 comments